PROGRAM JUALAN BUKU 1MALAYSIA @ PNM

Program ini akan mengadakan jualan buku yang berlangsung selama tiga (3) hari berturut-turut bertujuan memberi peluang kepada pengunjung perpustakaan untuk membeli bahan bacaan pada harga yang berpatutan. Di samping pelbagai aktiviti yang menarik bakal menanti anda. Program ini berlangsung pada:

Tarikh: 12, 13 & 14 Jun 2009 (Jumaat-Ahad)
Masa: 10.00 pagi - 6.00 petang
Tempat: Perkarangan Perpustakaan Negara Malaysia

PENYU MANGKUK KERTAS DI GALLERY, FIRSTPALETTE.COM

Alhamdulillah. Tidak disangka-sangka, aktiviti membuat "Penyu Mangkuk Kertas" yang dihasilkan di Perpustakaan Desa (PNM) Bandar Tun Razak telah berjaya menarik perhatian Sue, dari FirstPalette.com untuk meletakkan gambar hasil aktiviti perpustakaan ini di ruangannya di Kid's Art Gallery. Walau bagaimanapun, ucapan terima kasih juga ditujukan buat semua kawan-kawan di Perpustakaan Desa lain khususnya di Pulau Pinang kerana sudi berkongsi idea ini. Terima kasih banyak-banyak.

SAHIBBA / VOCABLE D' PERPUSTAKAAN

Aktiviti yang seterusnya ialah Permainan Sahibba / Vocable. Sebenarnya yang membezakannya ialah penggunaan bahasa. Sahibba untuk Bahasa Melayu manakala Vocable untuk Bahasa Inggeris. Bertempat di Ruang Bacaan Belia/Dewasa, bertarikh 24 Mei 2009 jam 3.00 petang, permainan ini berlansung. Apa yang menarik pada kali ini walaupun penyertaan agak kurang, permainan ini dimainkan sebanyak dua kali. Pusingan pertama di dalam BM, dan pusingan kedua pula di dalam BI. Baguskan! Di samping berseronok, ia juga dapat memperkayakan perbendaharaan kata pemain-pemainnya. Permainan ini melibatkan 2 kumpulan yang mana setiap satu kumpulan terdapat seramai 4 orang peserta atau pemain sahaja. Bagaimana ingin memulakan permainan ini? Senang sahaja. Ikut sahaja garis panduan yang dibekalkan. Pemain bebas membentuk perkataan dan meletakkannya di atas 'board'nya sama ada secara melintang, menegak, ke bawah dan sebagainya dengan mengikut giliran masing-masing. Bagi setiap perkataan yang habis dibentuk, pemain boleh mengambil mana-mana huruf vokal atau konsonan yang telah diterbalikkan secara rawak. Mudahkan!...Lihatlah, inilah hasilnya dan barisan pemain-pemain yang menjayakannya.

Vocable

Sahibba

Pemain mengira jumlah mata bagi setiap perkataan yang dicipta

Abg. Iffiq selaku orang dewasa juga turut serta

Keseronokkan jelas terpancar pada riak muka pemain cilik ini

Pemain perempuan tidak melepaskan peluang

ROMPIN FEST 2009

Kuala Rompin suatu masa dahulu pernah terkenal sebagai pelabuhan untuk mengangkut bijih timah di mana kapal-kapal dari luar dan dalam negara datang untuk memunggah bijih-bijih yang dibawa lombong bijih timah di Bukit Ibam ke Kuala Rompin menggunakan keretapi.

Kuala Rompin juga suatu masa dahulu terkenal sebagai kampung nelayan, dengan keindahan pantainya yang memukau pengunjung dan kehidupan masyarakatnya yang aman dan tenteram, Kuala Rompin amat bersesuaian pada masa kini dikenali sebagai Bandar Perlancongan.

Keindahan Pantai Hiburan Kuala Rompin kian menggamit pengunjung dari dalam dan luar negara untuk menikmati keindahan pantainya dan juga mandi manda di pantai tersebut. Saban hari pengunjung tempatan juga makin bertambah datang untuk melepaskan kepenatan diwaktu petang samada untuk menikmati hidangan di kedai-kedai makan berhampiran atau bersantai bersama rakan-rakan dan keluarga.

Kini Kuala Rompin selain dikenali sebagai Bandar Perlancongan, ianya juga dikenali sebagai Bandar Udang Galah dan juga lubuk kaki pancing, tidak hanya setakat kaki pancing dari dalam negara amat mengenali Kuala Rompin sebagai lubuk pancing malah kaki pancing dari luar negara turut sama mengenali Kuala Rompin sebagai pusat memancing ikan layaran yang terkenal diserata dunia.

Di Kuala Rompin pada setiap tahun di antara bulan 6 hingga bulan 8 kebiasaannya akan diadakan suatu karnival perlancongan yang bertujuan untuk memasarkan nama Rompin didalam sektor perlancongan tempatan dan antara bangsa, oleh itu pada tahun ini Rompin Fest akan diadakan bermula pada 29hb Mei 2009 dan akan berakhir pada 7hb Jun 2009, dan ianya akan dirasmikan oleh Sultan Pahang pada 1hb June 2009.

Oleh itu marilah bersama-sama untuk memeriahkan lagi suasana di Rompin Fest pada tahun ini agar ianya dapat membantu bagi membina ekonomi tempatan Kuala Rompin khususnya dan juga menyemarakan lagi industri perlancongan Malaysia amnya.

DUTA READ MALAYSIA - UPIN & IPIN


Dua karakter kartun animasi terkenal, Upin dan Ipin dilantik sebagai duta pameran buku terbesar Read Malaysia, yang akan berlangsung pada 29 Mei hingga 7 Jun di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MIECC), Mines Resort City.

Pameran anjuran Mines Exhibition Management Sdn Bhd itu membabitkan penyertaan 500 gerai daripada pengedar dan penerbit buku ternama.

Upin dan Ipin akan membuat kemunculan di tapak pameran pada 30 Mei dan 3 Jun ini.

Pengarah Urusan Les’Copaque, Burhanuddin Md Radzi, berkata pihaknya bersetuju bekerjasama dengan penganjur pameran buku itu terutama bagi menarik golongan kanak-kanak mendekati dan mencintai buku serta menjadikan amalan membaca sebagai aktiviti harian mereka.

“Karakter kedua-dua kartun dalam siri animasi Upin dan Ipin memang popular dan mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.

“Selain itu, perlantikan Upin dan Ipin sebagai duta akan memeriahkan pameran buku ini selain dapat menarik seisi keluarga meluangkan masa ke pameran terbesar ini,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Turut hadir Pengarah Acara MIECC, Lee Teck Chee.

Sementara itu, pameran buku berkenaan akan dibahagikan kepada enam bahagian iaitu buku am, ruang kanak-kanak, pavillion pendidikan, pavillion alat tulis serta bahagian elektronik dan multimedia.